.

.

Ifedayo ledak dua gol sekat kebangkitan Kuala Lumpur


Ingat nama saya! Selepas Lee Chang Hoon menyerlah dalam debutnya bersama Melaka United, kini giliran seorang lagi pemain import baharu, Ifedayo Olusegun Patrick mencipta nama.

Stadium KLFA Cheras menjadi saksi apabila Olusegun meledak dua gol dan memberikan satu lagi bantuan gol sekali gus menjadikan debut impian bagi mana-mana pemain bola sepak profesional.

Biarpun baharu sehari dua tiba dan menjalani latihan di bumi bersejarah Melaka, penyerang dari Nigeria itu terus disenaraikan dalam kesebelasan utama di bawah kendalian Ketua Jurulatih, E. Elavarasan.

Zubovich jaring gol kedua dalam dua perlawanan terbaharu.
Berada di posisi penyerang kedua di belakang Yahor Zubovich, pemain berusia 27 tahun dari kelab Bahrain, Al-Hidd itu dilihat tidak mempunyai masalah membentuk keserasian dengan rakan sepasukan sekali gus menghadiahkan kemenangan dramatik 4-3 ke atas Kuala Lumpur.

Syahrul Azwari Ibrahim turut cemerlang apabila meledak satu gol.
Melaka United mendahului tiga gol pada 35 minit pertama menerusi jaringan Zubovich pada minit keenam, Mohamad Syahrul Azwari Ibrahim (23') dan jaringan sulung Ifedayo (43').

Ketika perlawanan menuju rehat, Kuala Lumpur selaku tuan rumah berjaya merapatkan jurang gol menerusi jaringan Paulo Josue berpunca daripada salah faham pertahanan Melaka United.

Separuh masa kedua menyaksikan kebangkitan The City Boys apabila terus menggandakan asakan dan memperoleh dua gol menerusi jaringan Guilherme de Paula pda minit ke-47 dan 70.

Ifedayo ledak dua gol dalam debutnya bersama Melaka United.
Ketika Kuala Lumpur melonggarkan sedikit tekanan, Melaka United mengambil kesempatan meledak gol kemenangan apabila Ifedayo mudah menolak masuk hantaran silang pemain gantian, S. Chanturu pada minit ke-77.

Kemenangan kedua berturut-turut ini melonjakkan Melaka United ke kedudukan kelapan dengan 17 mata daripada 14 perlawanan.

Perlawanan seterusnya menyaksikan Melaka United bakal melayan kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, Krubung bagi aksi ke-15 Liga Super 2018.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.