.

.

Ifedayo wira Melaka United


Ifedayo Olusegun meledak lagi. Penyerang import dari Nigeria kali ini menjadi wira Melaka United apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan bagi memastikan tiga mata penuh dibawa pulang dari Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Sejak menyertai Melaka United, Ifedayo yang pernah beraksi bersama Felda United tidak pernah gagal menyumbang gol dan jaringannya ke atas PKNP FC merupakan gol kelimanya di Liga Super dalam hanya tiga perlawanan.

Ifedayo tampak sedikit kurang menjadi pada babak pertama apabila diletakkan sebagai penyerang tunggal sambil dibantu Lee Chang Woon sebagai 'pemain nombor 10' Melaka United.

Melaka United beraksi hambar pada babak pertama.
Percaturan ketua jurulatih, E. Elavarasan itu tampak kurang menyerlahkan kemampuan Ifedayo biarpun beberapa gerakan berbahaya pemain sayap seperti dari R. Gopinathan dan Syahrul Azwari Ibrahim dicipta pada separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan PKNP FC selaku tuan rumah berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-56 menerusi sentuhan penyerang kebangsaan, Shahreel Fikri Md. Fauzi.

Gol berkenaan berpunca daripada larian melepasi perangkap offside Mohamad Hafiz Ramdan yang gagal dikawal dengan baik Mohammad Faris Shah Mohd. Rosli atau Black sebelum melepaskan sepakan leret yang kemudiannya disudahkan Shahrel Fikri.

Khairul Fahmi (No. 20) kembali perkuatkan Melaka United.
Elavarasan kemudiannya melakukan bertukaran apabila membawa masuk Yahor Zubovich bagi menggantikan Syahrul Azwari bagi mencari gol penyamaan.

Percaturan itu berhasil apabila Chang Woon berjaya menyamakan kedudukan menerusi percubaan lencong cantik dari luar kotak penalti sekali gus merekodkan gol kedua peribadinya bersama Melaka United.

Kesebelasan utama yang diturunkan malam tadi.
Ketika perlawanan seakan berkesudahan dengan keputusan seri, sepakan percuma pantas diambil Melaka United berjaya membawa kepada gol kemenangan yang dicari.

Bola yang dihantar ke dalam kotak D PKNP FC ditanduk kemas Zubovich menghantar kepada Ifedayo yang kemudiannya mudah menanduk masuk gol kemenangan sekali gus membawa pulang tiga mata berharga dari gelanggang lawan.

Kemenangan itu melonjakkan Melaka United ke tangga ketujuh dengan kutipan 20 mata daripada 16 perlawanan dengan perbezaan lapan mata daripada zon penyingkiran.

Foto: PKNP FC, MUSA
Powered by Blogger.