.

.

Selamat jalan Labi, jasamu tetap akan kami kenang


Bola sepak Melaka dikejutkan dengan pemergian bekas pemain import, Labinot Harbuzi akibat serangan jantung di rumahnya di Sweden.

Menurut rakannya yang juga merupakan pemain bola sepak, Pawel Cibicki, Labinot atau lebih dikenali sebagai Labi tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ketika mereka bertemu kelmarin.

Namun, pada sebelah pagi semalam, Labi ditemukan mengalami sesak nafas dan berada dalam keadaan kritikal oleh bapanya.

Selepas ibu bapanya melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), Labi dihantar menggunakan ambulan ke hospital sebelum didapati telah meninggal dunia pada usia 32 tahun.

Labi ketika diperkenalkan sebagai pemain import baharu Melaka United. 
Sesungguhnya, jasa pemain kelahiran Lund, Sweden ini sangat banyak berjasa kepada bola sepak Melaka. 

Biarpun sering mencetuskan provokasi dan nakal di luar padang, aksi memukau Labi menggerakkan jentera tengah Melaka United sama ada ketika bersama Balsa Bolzovic, Yashir Pinto mahupun Ilija Spasojevic sangat dikenang.

Visi dan hantaran ibarat pisau panas memotong mentega yang membelah benteng lawan membuatkan lawan sentiasa merapati Labi kerana tidak mahu membiarkan Labi mengumpan kepada Spasojevic atau Yashir di jentera serangan Melaka United.

Kejayaan menjuarai trofi Liga Perdana 2016 merupakan satu kenangan terindah Labi ketika bersama Melaka United namun jodoh bekas pemain tengah Malmo itu tidak panjang apabila kontraknya tidak disambung bagi kempen Liga Super.

Bekas rakan sepasukan di Melaka United turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Labi.

Gandingan mantap Spaso-Labi sangat digeruni ketika beraksi di Liga Perdana 2016.
Antaranya adalah Spaso yang mengucapkan takziah, "Semoga tenang di sana sahabatku Labinot Harbuzi ❤️".

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain import, Alex Tudose antara individu paling terkesan dengan pemergian Labi.

"Selamat tinggal sahabatku! Terima kasih atas bantuan, sokongan dan kata-katan sepanjang kita beraksi untuk melaka United. Kamu adalah pemain terbaik di Malaysia dan insan terhebat. 

Alex Tudose bergambar besama Labi sebelum pulang ke tanah air masing-masing pada 2016.
"Berharap dapat bertemu kamu nanti. Ini merupakan dua tahun lalu.... Ahad kita bergelak tawa di telefon... Kita bercadang kembali ke Melaka dan menyelesaikan beberapa perkara dan mengembalikan semula kegemilangan. 

"Hari ini dia meninggal dunia. Semoga tenang di sana sahabatku... Aku tidak akan pernah lupa segala kenangan kita bersama, saya dan keluarga tidak akan lupakan kamu," katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Labi merupakan seorang 'penghibur' dalam pasukan biarpun sikap 'nakalnya' tidak digemari pasukan.
Sementara itu, pemain tempatan, Jasmir Mehat turut merakamkan ucapan penghargaan buat Labi.

"Semoga kau tenang di sana sahabat, Labinot Harbuzi 🤲🏻😔 Al-Fatihah🤲🏻 #crazyfriend #exteammatemelakaunited2016 #inmemories," katanya.

Powered by Blogger.