.

.

Kebangkitan lewat gagal elak Melaka United tersingkir


Impian Melaka United untuk melangkah jauh dalam saingan Piala FA terkubur apabila menjadi mangsa kebangkitan PKNS FC yang mudah menjinakkan lawan 3-2 di Stadium Shah Alam, Selangor malam tadi.

Kebimbangan terhadap rekod pertemuan yang kurang baik menentang pasukan berstatus kelab itu menjadi kenyataan apabila gol K. Gurusamy, Chan Vathanaka dan Kpah Sherman menyingkirkan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu daripada saingan Piala FA.

Ketinggalan tiga gol, Melaka United cuba melakukan kebangkitan lewat permainan menerusi gol sepakan penalti Ansemo Arruda 'Casagrande' da Silva dan kapten, Mohd Shukor Adan namun segalanya telah terlewat.

Zainal Abidin cuba melakukan perubahan taktikal berbanding perlawanan lalu dengan mengembalikan formasi 4-3-3 daripada 4-4-2 ketika bertandang ke Shah Alam.


Keputusan tersebut seakan menjadi dengan persembahan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan namun ketumpulan barisan serangan Melaka United diterajui Casagrande, S. Deevan Raj dan Raimi Md Noor menghampakan.

Melepaskan satu gol menerusi sepakan penalti mudah, kesilapan pertahanan dan dibolosi hasil gerakan serangan balas pantas, ketiga-tiga gol berkenaan boleh dielakkan jika pemain kekal fokus sepanjang permainan.

Perkara tersebut diakui Mohd Shukor yang melihat kekalahan malam ini bukan satu penamat kepada perjuangan pemain Melaka United.

"Satu harus kita akui kesilapan yang dilakukan. Apabila kita lakukan kesilapan, kita akan dihukum. Perlawanan ini menunjukkan kita bukan beraksi agak buruk tetapi kesilapan pertahanan membuatkan kita dihukum.


"Lambat buat keputusan, dipintas penyerang PKNS FC dan akhirnya dihukum. Inilah bola sepak, harap pemain tidak luntur semangat menjelang aksi menentang Selangor," katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.


Melaka United bakal melayan kunjungan Selangor untuk aksi Liga Super Sabtu ini bagi menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan.
Powered by Blogger.