.

.

MFL potong separuh geran Melaka United, 6 pasukan lain


Melaka United merupakan antara tujuh pasukan yang dikenakan tindakan pemotongan separuh daripada geran musim 2019 oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana gagal mematuhi tarikh akhir pendaftaran pada 31 Disember lalu.

MFL menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, selain Melaka United pasukan lain yang turut mengalami nasib sama adalah Kuala Lumpur, Felda United, Kelantan, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang.

Menurut MFL, lima pasukan iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan pada jendela perpindahan kedua bermula 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

"Lima pasukan ini termasuk Melaka United diwajibkan menyerahkan dokumen/pelan kepada MFL yang menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen yang menunjukkan semua tunggakan hutang telah diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada pengumuman ini dibuat iaitu pada atau sebelum 5 petang 22 Mei ini.

"Sekiranya dokumen-dokumen tersebut masih tidak diserahkan dalam tempoh yang diberikan, pemotongan sebanyak tiga mata akan dikenakan kepada pasukan terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, keputusan itu diputuskan Ahli Lembaga Pengarah MFL dan semua pasukan berhak membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari sehingga pukul 5 petang 29 April ini.

"Untuk makluman semua kita telah memaklumkan kepada pasukan terlibat tentang keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini. 

"Bagi lima pasukan yang melakukan kesalahan berulang, mereka telah dikenakan hukuman tambahan iaitu larangan perpindahan pemain pada jendela perpindahan akan datang.

"Sementara itu pasukan-pasukan masih yang memiliki baki dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran terutama berkait dengan kewangan, mereka diberikan masa selama 30 hari untuk kemaskini dokumen berkenaan.

"Mereka akan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata jika gagal menyerahkan dokumen seperti yang dikehendaki dalam tempoh 30 hari tersebut," katanya.

Daripada tujuh pasukan terbabit hanya Felda United FC telah menyerahkan semua dokumen diperlukan kepada MFL.
Powered by Blogger.