.

.

Damian Yeo akui Melaka United masih berhutang RM1.4 juta


Melaka United masih berhutang tunggakan gaji pemain musim lalu termasuk skuad Presiden dan Belia yang melibatkan jumlah besar hampir RM1.4 juta.

Perkara itu disahkan sendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Damian Yeo Shen Li yang mengakui masa kian suntuk untuk persatuan menjelaskan tunggakan gaji terserbut.

Lebih memburukkan keadaan kata Damian Yeo, situasi politik yang tidak menentu ketika ini menyebabkan penaja takut untuk menyalurkan dana seperti yang dijanjikan.

"Benar kami masih berhutang dengan beberapa pemain import, staf kejurulatihan, skuad Piala Presiden dan Belia yang melibatkan jumlah hampir RM1.4 juta.

"Saya telah lakukan yang terbaik untuk mengurangkan hutang persatuan daripada RM11 juta kepada RM5.7 juta tetapi kini satu lagi isu adalah menjelaskan hutang RM1.4 juta sebelum 29 Februari ini atau berdepan situasi tidak menentu di Liga Super.


"Dengan situasi politik semasa, saya cuba mengadakan perbincangan dengan pelabur (keseluruhan pelaburan bernilai RM9 juta) tetapi saya faham mereka takut hendak memberikan komitmen.

"Tetapi saya beri jaminan akan cuba yang terbaik untuk kebaikan persatuan dan bola sepak negeri ini," katanya menerusi akaun Facebooknya hari ini.


Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam hari ini menerusi ciapan di Twitternya memaklumkan Melaka United bergelut menyelesaikan hutang tertunggak sebanyak RM1.4 juta.

Dalam pada itu, kedudukan Damian Yeo sebagai Presiden MUSA pula kini tidak menentu selepas gabungan parti pemimpin DAP itu hilang majoriti di Dewan Negeri sekali gus memberi gambaran perubahan kepimpinan baharu akan menerajui Melaka.
Powered by Blogger.