12.10.13

EGM 2013 : LAKO TATKOVIC PILIHAN IDRIS KEMUDI MELAKA KE LIGA PERDANA

Oleh Ahmad S.M Yusof
TEKA TEKI BERAKHIR... EGM MAFA akhirnya diadakan selepas tertangguh beberapa kali.
Penantian peminat bola sepak Melaka untuk angin perubahan dalam pentadbiran bola sepak Melaka berakhir apabila Kongres Tahunan MAFA (EGM) ke-58 memutuskan untuk menampilkan hampir 90 peratus muka baru dalam pentadbiran MAFA.

Presiden terdahulu, Datuk Yunus Husin mengotakan janjinya untuk berundur setelah menyaksikan Melaka terperosok di tangga keenam dalam kempen hambar Liga FAM musim 2013. Lebih menarik lagi, setiausaha agung MAFA, Hahi Salleh yang sentiasa menerima kecaman peminat terpaksa melupakan hasrat untuk kekal di Wisma MAFA selepas tidak terpilih untuk sebarang jawatan dalam badan induk bola sepak Melaka ini.

EGM yang diadakan di kediaman rasmi Ketua Menteri, Seri Bendahara, Ayer Keroh awal pagi semalam turut dihadiri oleh bakal Ketua Jurulatih baru pasukan Melaka yang berasal dari Slovakia, Lako Tatkovic dan Jurulatih pasukan Harimau Muda A, Ong Kim Swee. 

MUKA BARU... Idris memperkenalkan Tatkovic kepada media disamping Ong Kim Swee.
Menurut laporan, jurulatih ini diperkenalkan oleh Kim Swee dan jurulatih HMA ini bertindak sebagai penasihat dalam pengurusan bola sepak Melaka. 

Untuk musim baru 2014, Ketua Menteri, Datuk Seri Ir Idris Haron dilantik secara rasminya sebagai Presiden MAFA yang baru menggantikan Yunus manakala tempat Hahi digantikan oleh Roslee Hamzah. Berikut merupakan senarai lengkap pengurusan baru MAFA musim 2014 : -

Presiden : Datuk Seri Ir. Idris Haron
Timbalan Presiden : Datuk Mohd Yusoff Mahadi
Naib Presiden : Khairi Anuar Ahmad, Datuk Talib Bachik, Musa Thamby Chik
Setiausaha Agung : Ahmad Roslee Hamzah
AJK Eksekutif : Hj. Kamarulazli Jaafar, S. Pathy, Tan Ching Yang, Fadzry Tan Abdullah, Nazri Abu Bakar, Md Noor Derus, Norizam Ali Hassan, Bakri Neemat,Gan Peng Lam, Subramaniam, Mahmood Hassan, Shamsuddin Hassan, Azizi
Bendahari : Kosong

Diharapkan barisan kepimpinan baru dalam MAFA ini mampu memberikan perubahan. Menurut beberapa sumber, pasukan Melaka pada musim depan mempunyai bajet yang agak besar untuk sebuah pasukan yang bermain di Liga FAM. Penulis difahamkan juga bahawa sesi pemilihan pemain yang diadakan minggu lalu mendapat sambutan menggalakkan . 

Namun, penulis suka untuk mengingatkan bahawa ada pemain yang dihantar oleh bookie untuk menghancurkan pasukan. Berhati-hatilah jika mahu pasukan ini berjaya. Selamat maju jaya kepada Datuk Seri Idris, Tatkovic dan pasukan kejurulatihan. Kembalikan kegemilangan Melaka yang semakin pudar ditelan sejarah Kota Melaka.

p/s : seperti ada nama penulis sukan Harian Metro dalam AJK Eksekutif MAFA. Apakah ini angin baru dalam media bola sepak Melaka?

Sumber foto: PBM, FB Tan Ching Yang
Sumber: Aznorashiq Bidin

2 comments: