Header Ads

SINAR HARIAN: MELAKA UNITED TERIMA TAJAAN RM3.8 JUTA

TERIMA... Kerajaan Negeri Melaka merupakan penyumbang terbesar tajaan Melaka United musim ini.
MELAKA - Melaka United memperoleh penajaan berjumlah RM3.8 juta bagi mengharungi saingan Liga FAM musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) Datuk Seri Idris Haron berkata penajaan itu merangkumi RM2 juta daripada kerajaan negeri Melaka selain beberapa syarikat swasta seperti Mamee-Double Decker (M) Berhad (RM300,000 dan sebuah kereta); Kejuruteraan Asas Jaya Sdn Bhd (RM500,000); Hatten Group (RM200,000); Faithview Group (RM200,000) dan Sadra Motor (RM200,000).

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata penajaan itu akan diguna sebaik mungkin bagi mencapai sasaran beraksi di Liga Perdana musim depan sebelum menyertai pasukan elit lain di Liga Super.

"Ini (penajaan) merupakan satu suntikan semangat kepada kita semua untuk berterusan menyokong Melaka United seterusnya melihat pasukan ini melakukan satu perubahan dan anjakan dalam arena bola sepak negara," katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan cek penaja dan pelancaran jersi Melaka United di sini, hari ini.

Melaka United akan memulakan saingan musim ini dengan menentang Perlis pada perlawanan pusingan pertama Piala FA, Selasa ini di Stadium Hang Jebat, Melaka.

MELAKA UNITED... Idris bersama skuad Melaka serta jurulatih, Latko Tatkovic (lima dari kiri).
Sementara itu, penolong pengurus Melaka United Noor Azman Rahman berkata pasukan itu telah bersedia mengharungi saingan musim ini.

"Saya lihat dari segi keserasian pemain juga sangat bagus dan kami yakin pada 21 Januari ini, kami akan menang menentang Perlis dan seterusnya menghadapi Liga FAM," katanya.

Melaka yang berada di tangga keenam Liga FAM musim lepas bakal dibimbing jurulatih baharu daripada Slovakia iaitu Ladislav Totkovic yang juga bekas pengurus Tatran Presov, kelab kedua tertua di Slovakia.

Penjaga gol: Mohamad Khairul Efsan Md Isa, Mohd Bidaus Abdullah, Khairul Izwan Jamaluddin.

Pertahanan: Rahim Abu Bakar, Wan Hossen Wan Abdul Ghani, Ragu a/l  Murugan Mudalia, Wan Azwari Wan Nor, Ahmad Khuzaimi Piee, Sathiya a/l  Kandasamy, Ng Choon Yiap, Abdul Zaini Abdullah.

Tengah: Amir Shahreen Abd Mubin, Mohd Saiful Mustafa, Rashid Mahmud (K), Rajan a/l Koran, Mohd Atif Hanif, Muhammad Adli Ahmad, Mohd Farid Saibun, Muhamad Bukhari Idris.

Penyerang: Mohd Fauzzi Kassim, Mohd Amirul Omar, Ahmad Aminuddin Shaharudin, Mohd Yusri Abas. - Bernama

Sumber: Sinar Harian, 20 Januari 2014
Foto: FB Datuk Idris Haron
Powered by Blogger.