Header Ads

Dua bintang Melaka United tak sebulu?



MELAKA United mungkin berjaya menamatkan aksi tanpa kemenangan di Liga Super selepas menundukkan Sarawak, 1-0, di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu lalu namun terdapat kepincangan yang jelas di dalam padang sehingga mencetuskan persoalan penyokong.

Biarpun tonggak dari Korea Selatan, Jeon Woo Young terus konsisten dengan rekod tiga gol dalam tiga perlawanan terbaharu Liga Super, ketandusan jentera serangan jelas menunjukkan kepincangan yang terdapat dalam pasukan.

Penyerang prolifik musim lalu, Ilija Spasojevic sehingga kini masih lagi tercari-cari gol sulung dalam perlawanan kompetetif musim ini sementara Amri Yahyah sekadar meledak satu gol sejak menyertai pasukan dari Johor Darul Ta'zim (JDT).

Dalam aksi menentang Sarawak, Spasojevic digandingkan bersama Amri dan R. Surendran di barisan hadapan bagi merobek gawang tuan rumah.

Namun, riak wajah Spasojevic jelas mempamerkan kekecewaannya terhadap sokongan yang diberikan rakan sepasukan terutama Amri dalam perlawanan tersebut.

Yang jelas, rata-rata penyokong Melaka United yang hadir di Kuching mendakwa kedua-kedua bintang itu dilihat tidak sehaluan sekali gus merencatkan gerakan serangan skuad bimbingan Eric Williams itu.


Paling mengecewakan penyokong dan pengurusan apabila terdapat beberapa gerakan berbahaya yang sepatutnya boleh menghasilkan gol dinafikan apabila salah seorang daripada penyerang itu enggan menghantar bola kepada gandingan serangannya.

Perkara ini perlu diatasi segera oleh Williams bagi mengelakkan wujudnya suasana tidak harmoni di dalam padang dan juga di bilik persalinan.

Difahamkan, pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) telah mengambil maklum perkara ini dan melakukan tindakan sewajarnya bagi memastikan situasi gandingan tersebut kembali pulih menjelang pertembungan menentang Kelantan di Kota Bharu, esok.

Kedua-dua bintang itu perlu mengetepikan ego dan kepentingan diri masing-masing dengan mengutamakan aksi secara berpasukan sekali gus membantu Melaka United terus konsisten dalam kancah bola sepak tempatan.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.