.

.

Pemergian Amri ibarat kasturi hilang harum - Halim


KEPUTUSAN Melaka United melepaskan penyerang kebangsaan, Mohd. Amri Yahyah atau Wak Am menjadi bualan penyokong pasukan dari selatan tanah air itu biarpun tindakan tersebut mencetuskan reaksi pelbagai.

Bagi lagenda bola sepak Melaka, Abdul Halim Jantan, tindakan yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) itu memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

"Kadang-kadang pengurusan terpaksa (lepaskan) demi kebaikan dan masa depan Amri. Pandangan saya, pengurusan pilih jalan yang tepat kerana kandungan kontrak Wak Amri adalah rahsia.

"Amri juga buat keputusan yang tepat kerana memikirkan faktor usia dan masa depan karier beliau. Lepaskan Wak Am ibarat kasturi hilang harum, mawar tak berkuntum," kata bekas penyerang berbisa skuad Sang Kancil itu hari ini.

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi semalam mendedahkan bahawa pasukan yang mnduduki tangga ke-10 Liga Super itu bakal meninggalkan pasukan untuk menyertai negeri kelahirannya, Selangor.

Terbaharu, dalam sidang media petang tadi, Mohd. Yusoff memberitahu, Melaka United sedia membuka peluang kepada mana-mana pasukan untuk membuat tawaran ke atas Amri, jika mereka berminat mendapatkan kapten kebangsaan itu.


Dalam perkembangan berkaitan, Halim turut menggesa agar pengurusan MUSA mengambil langkah drastik ketika jendela perpindahan dibuka nanti.

"Gugurkan jurulatih atau pemain yang tidak menunjukkan peningkatan dan membantu pasukan. Biarlah ambil pengendali baharu dan masih mngikut petunjuk prestasi utama (KPI) kekal dalam Liga Super dicapai, baharulah fikirkan perancangan tahun depan.

"Jika masih di Liga Super, ketua jurulatih itu harus dikekalkan dan biar beliau yang menentukan pilihan pemain tempatan dan import yang mampu memberikan aksi lebih 110 peratus," tegas Halim.

Foto: Halim Jantan, MUSA
Powered by Blogger.