Header Ads

Melaka United rombak pemain


PENGURUSAN Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) bakal mengambil tindakan drastik melakukan rombakan besar pada jendela perpindahan Mei ini dengan menyingkirkan sebahagian besar pemain susulan daripada prestasi hambar sepanjang pusingan pertama Liga Super 2017.

Perkara tersebut dinyatakan sendiri pengurus pasukan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi yang nyata kecewa dengan prestasi dan keputusan dicatatkan pasukan serta mahu memperkasakan kembali juara Liga Perdana musim lalu itu.

Bercakap kepada pemberita sejurus selepas tamat perlawanan terakhir menentang PKNS FC malam tadi, Mohd. Yusoff berkata, keputusan akhir mengenai siapa yang bakal disingkirkan akan dibuat dalam minggu ini selepas mengadakan perbincangan dengan ketua jurulatih, Eric Williams.

"Kami menjadikan dua perlawanan terakhir ini untuk menilai pemain namun itu tidak cukup dan akan membuat perubahan pada barisan pemain pada perlawanan pusingan kedua nanti.

"Sekarang ini, ada beberapa orang pemain import dalam radar untuk disingkirkan, namun keputusan akhir akan dibuat selepas perkara ini dibincangkan dengan jurulatih," ujar Mohd, Yusoff yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff berkata, pemilihan pemain import baharu akan dilakukan pada awal Mei ini dan lima atau enam pemain dari Macedonia, Brazil, Australia dan beberapa negara lain lagi akan datang ke negeri ini bagi menjalani sesi berkenaan.

Kata beliau, Melaka United mempunyai banyak masa, lebih kurang satu bulan lebih membuat keputusan bagi memilih pemain baharu apabila tingkap pemilihan pemain akan dibuka pada 15 Mei ini.

Mohd. Yusoff berkata, selain daripada pertukaran pemain import, Melaka United turut akan menukar beberapa pemain tempatan untuk memperkuat lagi pasukan.

"Dalam memilih pemain tempatan kami akan memberi tumpuan kepada pemain yang mempunyai kualiti Liga Super yang tidak berkesempatan bermain dalam pasukannya kerana pasukan mempunyai banyak pilihan pemain dalam posisinya.

"Melaka United kini dalam rundingan untuk mengambil beberapa pemain pasukan Johor Darul Ta'zim  2 (JDT2) dan proses rundingan tersebut berjalan lancar," ujarnya.

Foto: Utusan Online
Powered by Blogger.