Header Ads

FMLLP perjelas 'serangan' Annuar


IBARAT membuka pekung di dada sendiri. Itulah dapat disifatkan mengenai tindakan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang dilihat secara melulu 'menyerang' Melaka United dan Selangor gara-gara tidak berpuas hati kerana pasukannya ditolak enam mata.

Pengendali Liga Malaysia, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menerusi kenyataan hari ini menjelaskan, tiada hukuman yang dijatuhkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan tunggakan gaji pemain.

Sebaliknya, menurut FMLLP, penalti yang dijatuhkan atas pasukan yang terlibat adalah kerana kegagalan pasukan itu memenuhi syarat-syarat pendaftaran ekoran daripada keengganan atau kegagalan mereka membuat deklarasi dan memuat naik dokumen dari pasukan yang mempunyai tungakkan itu.

"Jika mereka telah melengkapkan pembayaran tetapi gagal memuat naik dokumen untuk melengkapkan pendaftaran, walau telah diberi ruang masa, diberi peringatan bertulis dan lisan, maka kesalahan atau perlanggaran syarat pendaftaran pasukan tetap berlaku dan ini bukan satu peraturan baru.

"Amat mengelirukan apabila sesetengah pihak cuba menyamakan isu ditangan dengan kes-kes individu yang mungkin tiada kata putus atau keputusan pihak berwajib dalam membuat keputusan.

FMLLP berkata, pihak yang cuba mencari 'fakta' kes-kes lain untuk memesong perhatian daripada fakta yang sebenarnya diharap dapat memperbaiki kesilapan tersebut.

Ini kerana, kata syarikat tersebut,  walau berapa banyak lagi 'fakta' yang dapat dicari, itu tidak akan menukar fakta bahawa mereka telah melakukan kesalahan dan ini perlu dibetulkan.

"Untuk masa depan bolasepak Malaysia, mainkanlah peranan anda dan betulkanlah kesalahan itu. Ini akan lebih membantu industri bolasepak tempatan dari mencari kesalahan pihak yang lain," kata kenyataan itu.

Kelantan dan T-Team kelmarin dipotong enam mata ekoran daripada kegagalan kedua-dua pasukan untuk melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan Liga Super 2017.

Annuar malam tadi menerusi akaun Facebooknya meluahkan rasa tidak puas terhadap FMLLP dan memberikan gambaran bahawa pasukan seperti Selangor dan Melaka United seharusnya dipotong mata kerana gagal melunaskan gaji atau imbuhan kemenangan musim lalu.

No comments

Powered by Blogger.