Header Ads

Kemarau kemenangan di Liga Super berterusan


APA yang hendak diperkatakan lagi. Dua kali mendahului namun masih gagal menundukkan skuad Lang Merah di halaman sendiri apabila tunduk 2-4 di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.

Ketiadaan tonggak import, Jasmin Mecinovic di barisan pertahanan yang diketepikan kerana penggantungan perlawanan nyata sedikit sebanyak mempengaruhi kerapuhan benteng Melaka United.

Mendahului seawal minit kesembilan menerusi jaringan penyerang, Marco Simic, tuan rumah gagal mempertahankan kelebihan tersebut apabila membenarkan Baddrol Bakhtiar menyamakan kedudukan selang lima minit kemudian.

R. Surendran sekali lagi diberikan lilitan kapten.
Simic sekali lagi memberi masalah kepada pertahanan Kedah dan berjaya meletakkan Melaka United sekali lagi di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-30.

Tidak sampai 10 minit selepas itu, Baddrol sekali lagi menemui jaring gol apabila meledak gol kedua pelawat sekali gus menjadikan kedudukan 2-2 sebelum tamat separuh masa pertama.

Felipe de Almeida Souza dirantai pergerakan oleh pertahanan Kedah.
Pada babak kedua, tekanan terus diberikan kepada pelawat namun pertahanan Lang Merah berjaya menyerap asakan dan hasilnya pada minit ke-55, Akram Mahinan berjaya menjaringkan gol ketiga pasukan yang berada di tangga kedua Liga Super itu.

Ketua jurulatih Melaka United, Eduardo Almeida melakukan beberapa pertukaran bagi menggandakan asakan mencari gol penyamaan.

Namun, disebalik kelekaan menyerang, Kedah memanfaatkan peluang menerusi serangan balas pantas dan memperoleh gol keempat pada masa kecederaan selepas 90 minit perlawanan hasil jaringan Muhd. Hanif Mat Dzahir.

Mohd. Fauzi Roslan gagal meneruskan rentak jaringan menentang Lang Merah.
Biarpun mempamerkan peningkatan dalam corak permainan, Melaka United masih gagal merekodkan kemenangan dalam 10 aksi Liga Super dengan kali terakhir merasai kemenangan adalah ketika menundukkan Kelantan di Kota Bahru, hasil jaringan Ilija Spasojevic.

Kekalahan ini meletakkan Melaka United kekal di zon penyingkiran di atas Pulau Pinang dan bakal bertemu skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu, Sabtu ini.

Tiada ruang untuk kelekaan, apatah lagi kekalahan. Ayuh bangkit!

Foto: MUSA
Powered by Blogger.