.

.

Melaka United kenduri gol di Kuala Terengganu


PRESTASI menakjubkan dipamerkan pemain Melaka United pada separuh masa kedua membantu skuad bimbingan Eduardo Almeida membelasah tuan rumah, T-Team 5-1 dalam perlawanan ke-19 Liga Super 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Perlawanan ini juga diibaratkan sebagai misi 'balas dendam' peribadi Almeida yang pernah disingkirkan T-Team sebelum ini biarpun berjaya membantu pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu terselamat daripada penyingkiran liga.

Ahmad Ezrie Shafizie Sazali berjaya melepasi kawalan pemain T-Team.
Masih segar dalam kemenangan ke atas Kelantan Rabu lalu, Almeida mengambil keputusan mengekalkan kesebelasan seperti di Kota Bharu bagi berdepan pasukan yang berada di pertengahan liga itu.

Babak awal permainan menyaksikan perlawanan berlangsung seimbang namun tuah ternyata berpihak kepada tuan rumah apabila terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Mohd. Fauzi Abdul Kadar pada minit ke-33.

Mohamad Faizal Muhammad dikekalkan di pertahanan tengah Melaka United berpasangan dengan Nicholas Swirad.
Berdepan tekanan selepas Sarawak yang berada di tangga ke-11 selesa mendahului Pulau Pinang dengan 2-0, Melaka United bangkit pada awal babak kedua apabila ketajaman penyudah penyerang import, Marco Simic membantu pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-51.

Penyerang, Mohd. Fauzi Roslan kemudiannya meletakkan Melaka United pula di hadapan pada minit ke-62 sekali gus mencerahkan peluang membawa pulang tiga mata penuh dari Kuala Terengganu.

Felipe terus buktikan dirinya pakar sepakan percuma apabila meledak gol keempat Melaka United.
Tidak memberi ruang kepada tuan rumah memperbaiki kelemahan benteng pertahanan, Melaka United berjaya merobek gawang T-Team lagi hasil jaringan G. Puaneswaran pada minit ke-70.

Pakar sepakan percuma Melaka United, Felipe de Almeida Souza turut tidak ketinggalan mencetak nama sebagai penjaring gol apabila sepakan percuma yang diambilnya tepat ke penjuru kanan gawang T-Team sekali gus meletakkan Melaka United selesa 4-1 di hadapan.

Simic sekali lagi meledak gol pada minit-minit permainan sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya 5-1 Melaka United menundukkan T-Team di gelanggang lawan.

Hantaran bola mencari Simic berjaya dipatahkan penjaga gol T-Team.
Kemenangan ini tidak merubah kedudukan Melaka United di tangga ke-10 Liga Super dengan 18 mata, berkongsi mata dengan Kelantan yang berada di tangga kesembilan sementara T-Team di tempat kelapan dengan 19 mata.

Sarawak mengekori rapat di kedudukan penyingkiran, tempat ke-11 dengan 17 mata meninggalkan Pulau Pinang di dasar liga dengan 12 mata.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.