Header Ads

Berbaloikah skuad B-17, B-19 diswastakan?


Merekodkan satu kemenangan, empat seri, 13 kekalahan sekali gus mengutip hanya tujuh mata sememangnya menampakkan kepincangan terhadap kualiti pemain-pemain yang diserap masuk ke dalam skuad Piala Presiden Melaka United.

Segalanya berpunca daripada kemelut yang melanda pasukan sejak awal musim ini apabila senarai pendek pemain berpotensi besar yang cuba dibawa masuk ke skuad Piala Presiden diabaikan sebaliknya hanya pengurusan lebih berminat mengambil pemain 'biasa-biasa' sahaja.

Melaka United berada di kedudukan tercorot dalam kumpulan A Piala Presiden musim ini.
Langkah tersebut kononnya mampu menjimatkan kewangan pasukan biarpun beberapa juta diperuntukan bagi menguruskan akar umbi termasuk skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

Skuad Piala Presiden Melaka United gagal memberikan saingan dalam peringkat kumpulan musim ini.
Lihat sahaja berapa ramai pemain remaja produk pasukan yang diserapkan ke dalam pasukan musim depan? Seorang. Ahmad Khuzaimi Piee atau Jimmy yang beraksi di pertahanan tengah dan kiri yang dilaporkan akan dipinjamkan ke pasukan lain musim depan.

Jasmir Mehat (kiri) tidak akan beraksi untuk Melaka United musim depan sementara Jimmy (kanan) bakal dipinjamkan ke pasukan lain.
Jadi, siapa yang tinggal? Pemain sayap, Jasmir Mehat tidak disambung kontraknya musim ini sementara anak jati Melaka, Nurshamil Abdul Ghani kembali memperkuatkan pasukan merupakan produk akademi PKNS FC.

Pemain tengah yang dipinjamkan ke Petaling Jaya (PJ) Rangers, Muhammad Akmal Ishak juga anak Melaka tetapi pemain berusia 23 tahun itu memulakan kariernya bersama Harimau Muda B. Jadi, di mana produk Piala Presiden dalam pasukan Melaka United?

Justeru itu, langkah penswastaan skuad bawah 19 (B-19) dan bawah 17 (B-17) untuk menghadapi saingan Piala Belia musim depan merupakan satu langkah yang baik dalam usaha memastikan pemain-pemain yang berpotensi dapat diserap ke skuad Piala Presiden seterus dipromosikan dan skuad utama.

Bercakap kepada BHOnline, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Noor Azman Rahman memaklumkan skuad tersebut bakal diuruskan syarikat MCS Management Sdn. Bhd.

Noor Azman memaklumkan mengenai penswastaan pasukan B-17 dan B-19 Melaka United.
Kata beliau, syarikat yang beroperasi di Kuala Lumpur itu dipertanggungjawabkan menguruskan segala perbelanjaan, pemain dan keperluan berkaitan pasukan bagi musim depan.

MIGUEL JOSE LEITE (dua dari kiri) pantas lakukan kerja selepas dilantik sebagai pengarah teknikal baharu Melaka United.
"MUSA akan memantau dan memberi panduan dan pandangan di bawah Pengarah Teknikal baharu dari Portugal, Miguel Jose Leite .Ini penting bagi mengelak sebarang kekeliruan pengendaliannya terutama dari segi pemilihan pemain berbakat agar yang tidak ada bintang muda terbaik tercicir daripada skuad terbabit," katanya.

Mengulas lanjut, Noor Azman berkata, syarikat itu turut bertanggungjawab menguruskan jersi pasukan selain menguruskan pasukan B-17 untuk saingan peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Namun, menerusi penswastaan ini pastinya bakal menimbulkan tanda tanya daripada pemerhati dan penyokong bola sepak tempatan adakah sistem yang pertama kali diguna pakai di negara ini sesuai diterapkan? Adakah sumber kewangan itu akan telus digunakan sebaik mungkin tanpa sebarang ketirisan?

Biarpun konsultan dan pengurusan MUSA lakukan kerja mereka dan kita nantikan sejauh mana keberhasilan sistem yang dilaksanakan ini terhadap pembangunan akar umbi Melaka United.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.