Header Ads

Bukan Melaka Unitedlah!


Teka-teki kononnya Melaka United antara empat pasukan Liga Super yang berdepan pemotongan mata akhirnya terjawab selepas Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengumumkan kesemua pasukan yang gagal melengkapkan dan menghantar dokumen pendaftaran.

Antara pasukan yang terlibat dalam masalah pendaftaran musim ini.
FMLLP menerusi kenyataan di akaun Facebook rasminya memberitahu, dua pasukan Kelanfan dan Kuala Lumpur tidak menghantar atau menghantar dokumen yang betul sementara dua lagi pasukan, Selangor dan PKNS FC gagal menghantar dokumen tepat pada masanya.

"Selangor melengkapkan dokumen pada 11 Februari manakala PKNS FC pada 19 Februari.

Pasukan 'adik-beradik' turut berdepan tindakan FMLLP.
"Bagi pasukan Liga Premier pula, empat pasukan masih tidak melengkapkan dokumen pendaftaran iaitu pasukan Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA dan PDRM.

"Ada dua pasukan menghantar dokumen melepasi tarikh akhir yang telah ditetapkan. MIFA telah menghantar pada 15 Februari manakala pasukan UKM FC pula telah menghantar dokumen pada 19 Februari," kata kenyataan itu hari ini.

Tarikh akhir menghantar dokumen adalah pada 3 Februari lalu. Tarikh itu merupakan tarikh yang telah dilanjutkan sebanyak dua kali untuk membolehkan pasukan yang terbabit melengkapkan dokumen yang perlu.

Tarikh akhir yang asal ialah pada 29 Disember tahun lalu yang telah dilanjutkan kepada 14 Januari dan 3 Februari lalu.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) menafikan pasukan itu merupakan salah sebuah pasukan yang bakal dipotong mata kerana gagal menyelesaikan isu pendaftaran mengikut tarikh yang ditetapkan.

Kenyataan dikeluarkan Melaka United susulan pengumuman FMLLP.
"Melaka United tidak tersenarai sebagai empat pasukan Liga Super yang bakal dikenakan hukuman pemotongan mata serta tidak dibenarkan membuat pertukaran pemain pada jendela perpindahan kedua kerana gagal melengkapkan beberapa dokumen pendaftaran.

"Sehubungan itu, MUSA menafikan khabar angin bahawa Melaka United ada kaitan dengan isu penolakan mata yang menjadi tanda tanya dan kebimbangan di kalangan penyokong Skuad Hang Tuah.

"Pengurusan tidak akan memandang ringan berkaitan dokumentasi pendaftaran seperti yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan FMLLP sehingga berisiko dikenakan hukuman yang boleh memberikan kesan negatif kepada pasukan kesayangan kita, Melaka United," katanya.

Tahniah buat pengurusan MUSA kerana dapat menyelesaikan isu pendaftaran pasukan mengikut tarikh yang ditetapkan namun harus diingat jika dua kes yang dibawa kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) boleh memberi kesan terhadap pasukan pada masa akan datang.

Mungkin pengurusan perlu mengeluarkan kenyataan lebih awal selepas ini bagi setiap isu yang dibangkitkan bagi mengelakkan Melaka United menjadi mangsa khabar angin yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Foto: MUSA, FMLLP

No comments

Powered by Blogger.