Header Ads

Impian ke suku akhir Piala FA musnah


Melepaskan gol mudah dan gagal menyempurnakan peluang biarpun menentang 10 pemain mengakibatkan impian Melaka United ke suku akhir Piala FA 2018 berakhir malam tadi.

Paling menyakitkan, pemain yang menunjukkan skuad kendalian Eduardo Almeida itu adalah anak jati negeri, Ahmad Solehin Mamat yang juga ahli skuad juara Liga Perdana Melaka United pada 2016.

Mendahului lawan 1-0 seawal minit keempat menerusi jaringan penyerang prolifik, Yahor Zubovich, impian ke peringkat seterusnya tampak seakan cerah buat tuan rumah apatah lagi pelawat dilihat mengambil masa untuk mencari rentak permainan.

Sekembalinya R. Gopinathan dalam kesebelasan utama menggantikan Ahmad Fakri Sa'arani bersama S. Sivanesan yang menggantikan Shahdan Sulaiman menampakkan keserasian di awal permainan.

Corak permainan menyerang menerusi bahagian sayap Melaka United memberikan tekanan kepada Kuala Lumpur yang beraksi dengan formasi 3-5-2 namun perlahan-lahan pelawat dilihat mula menggerakkan serangan berbahaya.

Paling jelas, G. Puneswaran dilihat agak bergelut bagi menghalang larian dan hantaran silang pemain sayap Kuala Lumpur, Mohd. Syazwan Andik yang menjadi ancaman khususnya apabila menemui penyerang import mereka, Guillermo De Paula.

Kesebelasan utama Melaka United malam tadi.
Namun, gawang Melaka United bocor juga apabila penyerang dari Brazil itu menanduk masuk sepakan percuma Mohd. Syazwan pada minit ke-31.

Tandukan De Paula tidak begitu kuat dan penjaga gol Melaka United, Mohd. Zamir Selamat sepatutnya menyelamatkan tandukan lemah itu setidak-tidaknya menafikan jaringan penyamaan berkenaan.

Tuan rumah bermula baik pada babak kedua menerusi beberapa gerakan yang dijanakan jentera tengah, Tiago Gomes dan Jeon Woo-Young.

Dalam usaha menangkis serangan Melaka United, pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan, Bobirjon Akrabov dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-64.

Selepas itu, di sempanjang 54 minit termasuk masa tambahan menyaksikan Melaka United mengusai perlawanan namun taktik bertahan Kuala Lumpur di kawasan sendiri menyukarkan tuan rumah mencari gol kemenangan.

Ini secara tidak langsung memberikan suntikan moral buat penjaga gol lawan yang berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya Melaka United khususnya dari Zubovich dan Gomes.

Almeida memilih untuk menyeraikan tiga pemain pertahanan sebagai individu bertanggungjawab mengambil sepakan penalti dan keputusan tersebut nyata tidak membawa tuah kepada Melaka United.

Sepakan Khair Jefri Jones, Gomes dan Puaneswaran diselamatkan Ahmad Solehin sementara Steven Thicot muncul satu-satunya pemain Melaka United yang berjaya menyempurnakan sepakan penalti.

Sepakan penalti Kuala Lumpur disempurnakan oleh De Paula, Indra Putra Mahyuddin dan Paolo Josue sementara sepakan Zaiful Hakim sekadar singgah di palang gol sebelum keluar.

Foto: Bernama, MUSA
Powered by Blogger.