Header Ads

Kerapuhan benteng hukum Melaka United


Kehilangan kewibawaan kapten, Khairul Fahmi Che Mat, kerapuhan benteng pertahanan dan kerap kehilangan bola menjadi punca kepada kekalahan 2-4 kepada Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat.

Ketika bintang import, Ifedayo Olusegun terus mencuri tumpuan dengan meledak dua lagi gol menentang Kuala Lumpur, kelebihan berada dua kali di depan gagal dimanfaatkan Melaka United.

Sebaliknya, pelawat yang tunduk 3-4 di Stadium KLFA Cheras, Selasa lalu mempamerkan aksi berbeza apabila bangkit dua kali menyamakan kedudukan sebelum meledak dua lagi gol bagi mengesahkan kemenangan.

Syahrul Azwari (kanan) disenaraikan dalam kesebelasan utama tiga perlawanan berturut-turut.
Ketiadaan Steven Thicot menyebabkan Ketua Jurulatih, E. Elavarasan meletakkan Khair Jefri Jones berpasangan dengan Nicholas Swirad di pertahanan tengah serta merehatkan Shahdan Sulaiman di bangku simpanan.

Gol pertama lawan diperoleh menerusi tepisan kurang baik cubaan Guilherme de Paula oleh penjaga gol, Mohd. Zamir Selamat yang membawa kepada tandukan penyamaan Indra Putra Mahyuddin.

Ifedayu jaring empat gol dalam dua perlawanan.
Biarpun Ifedayo kembali meletakkan Melaka United di depan namun kesilapan pemain di bahagian tengah dan kegagalan Khair Jones menahan bola dengan baik menyebabkan Zaquan Adha Abd. Razak lolos sebelum menggelecek Mohd. Zamir bagi gol penyamaan The City Boys.

Moral pemain Melaka United sedikit terjejas apabila keputusan kontroversi pengadil menghadiahkan sepakan penalti buat pelawat, biarpun ulang tayang menunjukkan Mohd. Zamir berjaya memperoleh bola terlebih dahulu sebelum berlanggar dengan Zaquan Adha.

Melaka United gagal ulangi persembahan baik dalam dua perlawanan terdahulu.
Seperti ulangan di Cheras tempoh hari, De Paula tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan penalti biarpun bola tersebut terkena kaki Mohd. Zamir sebelum menerjah gawang.

Kuala Lumpur terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk 20 minit terakhir apabila Zhafri Yahya dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan terjahan lewat ke atas S. Chanturu pada minit ke-69.

Ketika Melaka United ghairah mencari gol penyamaan, gawang mereka bocor lagi apabila De Paula yang berjaya melepasi perangkap offiside melakukan hantaran silang yang mudah ditolak masuk Indra Putra untuk gol kedua peribadinya.

Keputusan ini kembali meletakkan Melaka United ke tangga ke-10 dengan 17 mata, sama mata dengan Selangor dan PKNP FC di kedudukan kelapan dan sembilan, namun kedua-dua pasukan kurang dua dan satu perlawanan berbanding Melaka United.

Guilherme De Paula beri masalah kepada pertahanan Melaka United.
Elavarasan berkata, kesilapan mudah dilakukan pertahanan dan gagal menyempurnakan peluang menjadi antara punca kekalahan malam tadi.

"Banyak berbeza kita kena terima kekalahan ini akibat kesilapan dan akan cuba bangkit untuk perlawanan seterusnya.

"Saya rasa Khir baharu dalam posisi itu (pertahanan tengah). Kita tidak boleh salahkan dia sebab dalam lima perlawanan terdahulu, Khair bermain dengan baik," katanya ketika ditemubual selepas perlawanan.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.